Sunday, May 30, 2010

ILLUSI

Ku lihat dibebayang mentari
     aku tau kau disana
          menabur setia dihujung pelangi.


Ku lihat dipinggir pantai
     aku tau kau disana
          bermandi rindu bersama ombak
               digigi air.


Ku lihat di belantara
     aku tau kau disana
          menitip cinta dipohon harapan
               berteduh riang dipondok hasrat.


Ku renung tubuh kerdil ku
     aku tau kau disana
          berlabuh diteluk hati
               bersama illusi mimpi mimpi rindu
                    yang merah membara.






Bolkiah Kem
05 Nobember '81

SEBUAH HARAPAN

Demi cinta, Ida ku
dan detik detik yang pasti terasa
berlalu utuh berarus masa
mewangi rindu murni restu nya
simpanlah kemesraan sebuah dailog
dan pengertian sebuah duka
untuk mendaki hari hari kewibawaan
yang bakal menanti pasti.


Demi cinta, Ida ku
tumpahkan senyum santun kasihmu
bersama airmata dan kebencian
kedada ku yang telah retak
agar aku mengerti erti kehidupan
dan keinsafan di keretakan itu
untuk perasaan yang tidak pasti diratapi
yang hinggap didahan kemesraan.







Bandar Seri Begawan
11 Disember 1981 @2238H

MASIH INGAT KAH KAU ?

Masih ingat kah kau
suatu saat ibu mu berkisah
tentang arus kehidupan yang kau terokai
ketika aku sujud ditengah keluarga mu
antara restu restu yang agung
­ - entah mengapa begitu payah untuk ku
   melupakan nya                    (?).


Ya, masih ingatkah kau
kesukaran memekup derita didada
disaat usia terlalu muda
dilemma kasih sayang keluarga mu
dan kehidupan yang terlalu keras
lalu
   dalam senyum simpati ku berbunga
   memeterai kasih yang sedia ada.


Masih ingat kah kau
antara nada nada suara ibu mu itu
aku kembali menatap wajah mu
kerana aku tau
dimata mu masih terbuku
sisa sisa penderitaan kau hayati
yang terlalu ku santuni.






Labi
20 Dis 1983 @0845H   

DAN.......DENGAN TIBA-TIBA HARAPAN ITU BERTUKAR WAJAH

Dan
dengan tiba tiba
berdetak hatiku
sebak dadaku
menatap wajah usia kegenapan tahun pertama
kerana diantara melangkah nya usia itu
masih ada sisa sisa kesangsian
­-  diluar diri.

Lalu aku
menatang kenyataan itu
dengan rintihan dan rasa haru
demi harapan bahagia dikegenapan itu
telah cacat tergores bersama tangisan duka
kuyup disirami titis titis airmata
yang lahir dari kelopak kelopak suci.

Lantas dari telaga hatiku
mengalir sebuah pintomen yang terlalu ku ragui
lalu sangsi ku berbunga lagi
dimanakah kepastian
dan kemuktamadan
yang bakal menyepadani kegelisahan
bisa tenteramkah hati di kemuktamadan itu
miski ku fahami
duka duka itu adalah milik mutlak ku    (?).

Ya, alangkah kaku nya
bila sebuah harapan bertukar wajah
didetik kenangan yang terlalu indah.




Labi
26 Dis 1983@0245H

SUASANA

Bermula dari sebuah pertemuan
didada kesepian
kau renda sekuntum harapan
menatang duka dikeretakan dadaku
lalu
aku pun masuk kehatimu
memapah cinta dan rindu yang berat.


Kemudian hari hari berlalu
bersama keriangan dan wajah wajah pilu
merebahkan diriku kehatimu
setelah jauh berjalan dalam kesepian
lantas terikat lah janji
dari keriangan yang bertukar wajah.


Bertapa
ketika aku tersungkur ditengah perubahan
menghadapi perpisahan jasad
debar resah ku berbunga lagi
lalu aku
termanggu dijendela
merelakan diri menatapi rindu
ditengah kabus
bersama burung burung pagi.





Reading, Berkshire
20 Jan 1982 @2239H

SEBUAH KARTU

sebuah kartu
tampil kesisiku
bersama sekuntum rela
dan sekuntum mawar dimukanya
mencatat indah kalimat
­ -  "Selamat Hari Raya, Kekasihku".


Kembali kekamar ku
ku dakap kartu itu
bersama airmata dan simponi kasih
kerana diantara kelopak-kelopak mawar itu
ada irama seakan pilu
­-    bahawa ku.........di Aidil Fitri ini
     bertahta jauh dari halaman.


Dan kartu itu
telah kembali mengingatkan aku
kepada mereka mereka yang ku tinggalkan
jauh di pelusuk halaman
yang telah kehilangan suatu keindahan
di gema Aidil Fitri.


Lantas
kartu berwajah mawar itu
ku simpan dipenjuru hatiku
bersama rasa hiba dan haru
kerana terkedip jua dihatiku
keanihan yang menghibakan
bila perpisahan yang ulung ini
menerpaku bersama takbir Aidil Fitri.






Berkshire,UK
06 Jul 1982 @2259H

BILA TIBA-TIBA KUNTUM-KUNTUM KENANGAN ITU MENODAI KU

Bila tiba-tiba
kenangan itu melanda hatiku
aku kembali merasakan
sesuatu yang aneh seakan sinis
menodai keyakinan ku
dan aku mulai merasakan
­ -  perpisahan ini adalah suatu penyiksaan.


Dan alangkah kakunya
bila satu-satu nya yang pernah ku miliki
hilang semau-maunya
diderai puput bayu sehangat nafasmu
pudar dalam lenaku
bersama keyakinan yang terlalu dalam.


Tiba-tiba pula
dikala keyakinan ku berbunga kembali
kau ulangi kepahitan ini melalui kartu
mencabar keyakinan hatiku
untuk kembali meniti pelanggi harapan
pun demi melenyapkan kenangan itu
kerana dihatiku kini
kau sudah tiada bererti.


Ya, alangkah kejamnya
bila kau letakkan kesalan
setelah keyakinan ku menutupi mendung
dan kembali membebani duka-duka ku
dengan kuntum kuntum duka sisetiap memori
yang tiada ingin ku terpa lagi.





Berkshire, UK
24 Jul 1982