Saturday, February 27, 2010

EPILOG DIMUSIM GUGUR


-pada menilai persamaan alam, manusia dan reroda kehidupan antara keduanya.



Musim bertukar lagi
dedaun kuning dan kering
lalu gugur kebumi yang basah
meninggalkan ranting ranting telanjang
dipuput bayu tenggara
disirami bintik-bintik hujan musim gugur
dan kita manusia
adalah pemerhati yang setia
melihat evolusi alam
tanpa disedarkan oleh tanda tanya
kenapa ?
kemana ?
hilang nya keindahan
sebentar tadi menghiasi ruang-ruang alam.


Dan tanpa kita sedari
kita adalah laksana pepohon
dimusim gugur
bersama usia yang merangkak
kerana kita manusia
adalah
sebahagian daripada alam sejagat
yang pasrah menerima hakikat
evolusi dan ketuhanan.


Lalu
akan pasrah kah kita
menjadi pepohon
menelanjangi diri dari warna dan keindahan
menatang musim nan berubah
melewati kehendak diri dan kemanusiaan
pada suatu titik waktu
menuju pingggir batas usia ?!




Arborfield, Berkshire.
12 Okt '89

MONOLOG II

Antara aku dan mereka
segalanya seakan terasing
tentang hukum-hukum yang kabur
herdikan
pergi
buat dan kembali lagi
atau tentang bebayang yang jelas
entah
tak tau
terserah
apakah segala nya itu
akan mengelirukan
seorang aku untuk berfikir
sehingga melahirkan kata kata tentang resolusi
tanpa malu dan silu
tentang hakikat hakikat nyata
pada mereka mereka yang bakal
mengikuti jejak jejak ini.





Berkshire
04 Jul '89

HARAPAN

-buat teman dan adik diKumpulan 3020
semuga dapat di mengertikan.



Kawanku
kita seharusnya belajar
tentang erti kemanusiaan dan harga diri
agar kau akan berani
mengatur dan mengucapkan kata-kata yang indah & gagah
luhuh dan teguh
bakal menerbitkan pelangi petang
di penghujung senja.


Kawanku
marilah kita bermesra dan bercinta dengan hidup
lukiskan lah wajah gembira diwajah mu
ibumu
bapamu
dan adik adik mu
kerana kau adalah sebahagian daripada sejarah keluarga
bakal ditafsir oleh anak-anak mu
(lalu mau kah kau dikenang
sebagai sebahagian daripada watak-watak yang lemah ?).


Kawanku
abadikan lah semangatmu diteratak ini
bersama ikrar dan teguhnya setia kawan
agar terpadam kisah-kisah semalam
kerana disini ada ketenangan dan kebahagiaan
untuk mengolah mu manjadi lebih 'manusia'
kerana esuk aku tidak sanggup mendengar
nyanyian sepi mu
dari arah berbeza diluar peradaban
atau ruang-ruang kosong sebuah penjara.


Kerana aku........ kawanku
hanyalah seorang daripada mereka
yang datang dan pergi
yang setia melihatmu
menjadi seorang manusia yang 'manusia'.


Bukit Puan
1 Apr '89

APOLOGI BUAT SEORANG SAHABAT

- atas apa yang sedang berkocak dihatimu


Sahabat
aku pernah melihatmu
memenuhi kehendak naluri rindu
suatu saat ketika aku tidak mengenalinya
lalu aku kah seorang lelaki
yang kurang pasti tentang erti
kecurangan dan kasih sayang ?


Sahabat
aku juga pernah melihatmu
menatang segala kerinduan
sehingga ia membebani mu
lalu aku kah seorang lelaki
yang kurang mengerti
tentang nilai cinta seorang isteri ?


Sahabat
sekarang aku melihat mu
dibebani oleh daya fikir sendiri
kerana apa yang berkocak dihatimu
adalah dua persimpangan yang sukar dihayati
lalu sahabat
kau kah seorang lelaki
yang mulai mengenali
hakikat diri dan putaran hakiki ?


Sahabat
inilah apologi ku
aku pasti kau sudah mengalami sendiri
apa yang pernah suatu ketika tidak kau impikan
kerana kita adalah insan
yang bernama 'lelaki'
yang akan pasrah
bersama penghayatan yang pasti tiba
lalu sahabat ku
kita adalah lelaki lelaki
yang sudah mengenali satu titik dalam lingkaran usia
yang akan cuba kita luputkan dan hindari !


Berkshire
08 Jun '89

* Semuga titik ini akan menjadi kenangan yang abadi kepada mu

ENTAH

-buat renungan rakan rakan seperjuangan


Disini
kita adalah diantara tandatanya
tanpa sesuatu dikiri dan kanan
dan dihadapan kita
seakan ada lorong cahaya yang hitam.

Lalu
akan sudikah kita
menjadi pelombong
bermesra dengan kegelapan dan tandatanya
untuk seketul intan
yang tiada akan dihargai
(pun demi masa depan yang belum ‘terpasti’) ?


Dan diantara kegelapan itu
akan lahirkah sesuatu yang meyakinkan
atau
akan masih kah kita pulang
dipersenda
dengan undangan yang hijau ?.




Bailleul Sgts’ Mess
Arborfield
13 Jun '89

MONOLOG

Malam
berbaring melayani khayalan
bersama kesunyian
kedinginan
dan angin malam musim bunga
menjawab pertanyaan pertanyaan hati
yang sering bertelingkah
mencari teratak perhentian sebuah semangat
dimana adanya mata air
penghilang dahaga
yang tiada bersalut lumpur
dimana adanya kepingan kepingan roti
pengalas lapar
yang tiada sekeras konkrit.


Lalu terfikir oleh ku
dan
aku percaya aku tidak terkeliru
bahawa
tiada sesiapa pun
yang akan hidup tenang
melayani hari hari dan malam malam nya
sepersepuluh dekad
berlari tiga ratus enam puluh lima hari
bersama kesunyian
kerinduan
keasingan
dan keserba-kurangan ini !
Bukan aku...................!!


Sendiri ?
sendiri bersama kesunyian ini
berbicara
bersenda
dengan dinding dinding konkrit
diempat penjuru ?
Ah, tidak
tiada seorang pun yang akan sanggup
menghitung tiga ratus enam puluh lima hari
dan malam malam
di sini !

.............bukan.....
...................bukan aku......!
.......................pun aku tau..........
..............................bukan KAU !


Berkshire
27 Jun '89

EPILOG RINDU DIPERUT BELANTARA

Belantara
aku diperut mu
bersama
kesunyian
kerinduan
dan kesyaduan
menghitung bebintek titisan memanik hujan
seolah olah mendendangkan sebuah lagu puistis
diatas khemah ku.

Bertapa belantara
terlalu sukar bagi ku
mengertikan hakikat evolusi mu
sesukarnya aku
memapah kesunyian malam
bersama bebayang rindu
dibawah kanopi mu
membatasi kedinginan hujan malam (!).




LP384, Ulu Tutong
05 Sep '91 @2230H

SKETSA RASA ­ SEBUAH DAIRI

Sebuah dairi
sekuntum catatan dari goresan goresan pena
mencatat memori memori luka
pengabadian sebuah sketsa rasa
ekspresi rindu yang pasrah
dendam luka tak tertanggung
dan bau bau hanyir sekuman penyesalan !


Lalu
lembaran lembaran ekspresi itu
ku singkap satu demi satu
seolah ingin meratakan gegaris kusut
dari masaalah masaalah yang tak terhurai
namun aku lebih percaya pada ketenteraman
buat menyirat luka luka yang masih mengalir
memadamkan api yang masih menyala.


Apakah harus ku jelaskan
atau catatkan di lembaran dairi ini
tentang identiti cinta
tentang frustrasi yang tak bersempadan
atau haruskah aku biarkan
calar calar luka terus mengalir hanyir
mengurung seluruh kepedihan
sebagai satu hukuman yang paling wajar (?!!!).



Penanjong
Nob '90 @2000H

LAGU DARI SEBUAH PERJALANAN

Sesekian lama nya
kita setia menyusul langkah
dalam mengutuskan bicara bicara
tentang kehidupan
tentang keinginan hati
menghimpun hasrat-hasrat menggunung.


Dan hari ini
kita masih setia mengusung memori
ditengah lautan kehidupan
mengatur jejak jejak bersama ketulusan
mengenapkan usia keangka tiga puluh
biarpun hati nurani kita tidak meminta
sebuah istana
atau menara memuncak keawan !


Lalu
akan pasrahkan kita menghimpun ketabahan
membina harapan yang tetaðp mendatang
atau akan bernoktah kah
sebuah sejarah perjalanan
menjadi sebuah memori duka
disaluti penyesalan ?





Bangar
Dis '90

APOLOGI 1

Maafkan aku sayang
andai aku hanya mampu berkata
memori-memori itu kini
hanyalah dedaun harapan
yang gugur
seperti musim-musim yang lalu.



Maafkan aku sayang
kerana membiarkaa sepi seorang perindu
bukanuntuk tidak menghargai
atau sekadar ingin melukai
yang nyata nya
tercalar jua sebuah kesabaran !
(Sayang…….bertapa lewatnya kau mengerti)





Penanjong
21 Jan '92

INSAF

Bertapa
terasa diri terlalu kerdil
alpa pada erti iman dan taqwa
melewati masa masa yang lalu
dengan dosa-dosa yang lalai

Lalu
diantara kesedaran padu hakiki
dalam menghitung hari-hari seterusnya
ku senyum dalam keinsafan
mengumpul munajat kehadzrat Illahi

Maka
jadilah aku
seorang yang menjadi serbasalah
mempertikaikan kewajipan
kehendak cita
dosa-dosa lalu
dan sisa hari-hari kehadapan

bertapa tuhan ku
Kau berikan lah aku sebaik-baik jalan
yang terlalu santun
tanpa kehilangan apa-apa
siapa-siapa
dan cita- cita
pun sebuah keinsafan
yang terus menjadi penghayatan diri
semoga kembaliku padá Mu
dengan Iman dan Taqwa.




Penanjong
2 Jul 92

DOA DAN HARAPAN

Benih rindu yang tertanam ini
adalah sebuah harapan
kerana hari-hari yang terlalu cepat berlalu
telah menyedarkan kita
tetang tanggungjawab
hakikat sebuah kehidupan
dan erti sebuah perkongsian.


Lalu lewat kerinduanini
ku panjatkan doa-doa kehadratIllahi
agar segala yang pernah terungkap
akan menjadi nyata
pun segala cita-cita akan terkota
tanpa sengketa
tanpa derita
tanpa sengsara.

­ Ya Tuhan,
bukakan lah mata-mata hati
untuk menerima hakikat dengan kerelaan
pada menoktahkan dosa-dosa diarus kehidupan
dan bahagia diulit taqwa.






Penanjong
2 Jun 92

Friday, February 26, 2010

Jarak Rindu



Jarak rindu ini
menggapai pandangan-pandangan
ada illusinasi … ada remang wajah …
......lalu menjadi gontai langkah kecil yang tak menentu
......seakan mengejar bebayang yang tak pasti

Dan kala dendam rindu ini datang mendera
Bayangmu sesaat memaku segala gerakku
Mengalihkan mataku pada indah sudut matamu
Yang menampakkan butiran-butiran kasih sayang

Rinduku …
bersangkar dalam hati penuh kebimbangan
di pagar waktu di jaga malam ku bersama bicara hati
dan harapan untuk memapah esuk…….




Gleneagles, Jerudong
0345 26 Feb

Monday, February 22, 2010

MASIH ADA


  








Masih ada
- pada menilai hakikat ombak dan buih

Buih dan ombak
hatinya saling bersalaman disini
mengungsi gumpalan-gumpalan rindu
sebelum berangkat mendukung kewajiban
kelain pengkalan.

Ada kala nya
bicara-bicara kesal melewati dahi
pada hakikat yang terlalu sukar dimengertikan
lalu merebahkan segalanya pada redha Illahi
dan qada qadar yang alami...

Buih dan ombak
masih ada di pinggir pantai
setiap detik aku kesana
kerana aku telah redha memapah kehidupan
bersama Buih dan ombak
meski setiap kali menghempas pantai
...... buih akan meresapi pasir
.......dan ombak kembali kelaut bersama arus........(!)


Taman Alam, Telanai
22 Feb 2010

KU SERAHKAN PADAMU UNTUK MENAMAI SAJAK INI

Sayang
ada kala nya aku adalah
seorang perindu
yang terlalu parah
lalu menjadi gusar
dan bimbang
tentang hakikat dan nilai
sebuah harapan.


Bertapa sayangku
Kesunyian dan perpisahan ini
telah mengajar aku
untuk lebih mengertikan
harga sebuah kasih sayang !



Berkshire
1 Jul '89

CERITA AYAH

‘Secepat masa berlalu
bersama arus hidupmu anak
akhirnya kau besar jua meniti hari
dibuai lapar di dodoi dahaga
seusia kerbau tua yang kurus
bersama salut lumpur dari sawah.

Dan oh anak
kelahiran mu bersalut lumpur ditanah warisan
ditengah kepapaan keluarga desa petani
disubuh Julai bersama kabus kemarau
lalu tubuh mu di balut perca usang
dalam tangisan tajam mu mengisi ruang teratak.

Kau merangkak bersama kemiskinan, nak
miski tak pernah kau rasa nikmat nya "milkmaid” dan "dumex"
namun kau senyum jua tanpa mengertikan suatu perpisahan
ketika ayah termeteri di kamar kecil yang sepi
lalu kau berjalan bersama jerih ibu mu
menerokai hidup menoreh getah dan berhuma.

Dan kemiskinan tetap milik kita, nak
teratak usang terus menyaksikan kau membesar
bersama simpati seluruh desa
lalu ayah kembali jua di suatu hari
menatapi riang-riang wajah mu anak
yang tenggelam dalam dakapan rindu semalam.'

Lalu aku
penuh terharu menatap wajah ayah yang sayu
menerima kenyataan seluruh cerita ayah 19 tahun silam
bersama warisan kepapaan
bersama tangisan
disudut hati ku bersama debar dan denyut kegigihan.


Bolkiah
Feb '81

Buat Anak

buat anakku Norhayati Ummi Juriyah.


Takala kau hadir
menoktahi sebuah penantian
bersama pekikan tangis
mencelah azan subuh
tanggal Nobember dua puluh sembilan
- teriring lah doa ayah
dan restu ibu
agar hari-hari yang bakal kita harungi
adalah hari-hari yang wangi
bersama kau ­ kandil kehidupan.

Dan disaat-saat begini
kami lah manusia-manusia yang paling gembira
menatap satu-satu nya milik padu
di selubungi kesempurnaan
diwajahi kewibawaan
buat meniti saat-saat kegersangan
bersama warna-warna maya.

Dan anak ku
kami akan setia
meraih kebahagiaan
menghitung hari-hari seterusnya
dalam meniti kedewasaan mu
bersama sayang ibu
bersama kasih ayah.



Kuala Belait
01 Dis '84.

ERTI SEBUAH KATA ­ SEORANG ISTERI




Diwajah nya
ada ayu syadu wajah keibuan
ada lurik senyum seindah Moná Lisa
- antik tapi berharga.

Dimata nya
ada riang wajah seorang suami
berbaur wajah comel seorang bayi
­ nilai harga sebuah bahagia.

Dihati nya
ada kuntum-kuntum murni sebuah cinta
terpahat warna warna harapan
dicelah mimpi-mimpi yang wangi.

Dan Ida ku
akan ku hampar sejuta setia kedada mu
akan ku papah sejuta kasih kehati mu
agar kau mengerti
­ erti cinta seorang suami.



Tutong
2 Okt '85.

YANG KU RINDUKAN........ YANG KU TINGGALKAN

Yang ku rindukan
manja riang senyum seorang isteri
ghairah wajah comeì seorang anak.

Yanç ku igaukan
tangis sepi hati seorang isteri
teriakan seorang anak membahasai 'abah'
memenuhi ruang-ruang kosong yang ku tinggalkan.

Lalu aku
bagai di bebani memoir
meniti sepi hati sendiri
bersama syadu rindu seorang suami
dendam ghariah seorang ayah
meraih tinta rindu yang puistis
bersamm sekuntum doa
bersama sekalung harapan
agar yang ku tinggalkan
bukan sekadar ruang-ruang kosong yang hitam (!).



Stevenage, Hertfordshire.
30 Jan '86.

Friday, February 19, 2010

MANUSIA & TIRAM


Bertapa mudah nya menjadi manusia
berjejak kesana kemari
dengan pelbagai warna cahaya
terpesona dan mempersona
dunia adalah sebuah temasya
yang menjanjikan sebutir mutiara
dari dasar sebuah lautan.

Bertapa sukarnya menjadi tiram
sepi didasar sebuah lautan
pasrah bersama kegelapan
dengan keperibadian yang tiada pernah dibentuk
belajar dari arus liar yang berlalu
tentang hakikat
kegelapan dan sumbangan
sehingga memungkinkan
kewujudan sebutir mutiara.

Lalu.................
bilakah seorang manusia
yang terpesona pada sebutir mutiara
akan mewujudkan
sesuatu yang lebih bermakna
daripada sebutir mutiara cuma (?).



Bukit Puan
10 Apr '92

DOA DAN HARAPAN

Benih rindu yang tertanam ini
adalah sebuah harapan
kerana hari-hari yang terlalu cepat berlalu
telah menyedarkan kita
tetang tanggungjawab
hakikat sebuah kehidupan
dan erti sebuah perkongsian.

Lalu lewat kerinduanini
ku panjatkan doa-doa kehadratIllahi
agar segala yang pernah terungkap
akan menjadi nyata
pun segala cita-cita akan terkota
tanpa sengketa
tanpa derita
tanpa sengsara.

­ Ya Tuhan,
bukakan lah mata-mata hati
untuk menerima hakikat dengan kerelaan
pada menoktahkan dosa-dosa diarus kehidupan
dan bahagia diulit taqwa.



Penanjong
2 Jun 92

YOGYAKARTA

Pada menghayati perjalanan melewati Yogyakarta diawal Dis 2000


Aku berlabuh dikotamu Yogyakarta
Untuk mencoret sebuah memori
Lalu dicelah kebinggungan dan ketidakpastian
Ku dampingi mu Yogyakarta
Dengan kedaulatan Keraton mu
             Kemegahan Merapi mu
             dan keutuhan Borobudur mu.

Bertapa Kota Yogyakarta
Aku seakan berputik disini
Takala menghayati Ngayougkarta Hadiningrat mu
Yang menyimpan pelbagai rahasia
Yang kurang ku mengertikan demi terlalu singkatnya perhentian ini.

Lalu Yogyakarta
Ku daki anak-anak tangga kepuncak Borobudur mu
Mengkagumi keajaiban dan keupayaan masa silam
Dan ku lambaikan tangan ku ke Merapi mu
Kerana aku tahu aku tak bisa terlalu lama disini.

Bertapa Yogyakarta
Menyusuri Malioboro mu – dari gedung dan toko’ kali lima
Ku pahat satu memori diperhentian ini – dengan hadiah waktu
Kerana aku merasa terpikat dengan Kelembutannya
                                                       Keramahannya
                                                       Dan Keterbukaannya.

Lalu Yogyakarta
Apakah aku akan bisa mampir lagi
Untuk menikmati hidangan di Warung Tender mu ?
Apakah aku akan bisa mampir lagi
Demi keinginan untuk menyentuh Tugu Putih mu ?
Apakah aku akan bisa mampir lagi
Untuk menghitung 345 anak tangga di Imogiri mu ?

Ya, kapankan Yogyakarta
Kita akan bisa bermesra lagi            ?



Balikpapan
04 Disember 2000

RINDU SEORANG AYAH

Ku lihat diluar jendela
ada anak anak riang berlari
pun ku dengar
suara girang anak-anak itu bermain salji
bersama papan gelungsur dan ayah ibu.

Lalu anak ku
seakan terdengar riang tawa mu
pun pekikan suaramu
manja membahasai 'abah'
sambil berlari riang
bermandi mentari................dipasir berkerikil.

Bertapa anak ku
terabai kah kasih sayang seorang ayah (?).

Ya, anak ku
muga kau akan bisa mengerti
dalam meniti arus kedewasaan mu nanti
akan erti sebuah perpisahan
dan
rindu seorang ayah.



Vardon Road.
Stevenage, Hertfordshire.
1 Mac '86.

Sengketa

Satu situasi
tubuh-tubuh susok menggema dunia
antara kekuasaan dan kemanusiaan
akan mengalir kah lagi dedarah
dilembah keagungan Sungai Mekong
yang sudah sekian lama bermimpi jingga (?)

Sebuah situasi
menggegar malap seluruh Asia
bahawa esok Sungai Mekong
akan menangis lagi
atas sengketa peribumi Indochina
yang bersatu atas keagungan tukul dan sabit.

China ­ Kempuchea, Russia ­ Vietnam
lambang lambang tukul & sabit sejagat
masing masing menadah hak kekejaman
dibilangnya Kominisma itu lumrah
tapi kini nyata tukul & sabit sudah jahanam!

Andai hari ini
Marx dan Lenin masih bernafas
neschaya ia akan sedar pada hakikatnya
pasti Carter akan lebih megah
lebih heboh dengan pesta-pesta damai nya
demi seluruh pro-tukul & sabit
akan huruhara.

Ah, usah mau disatukan dengan damai
biarlah Hwang Ho, Mekong dan Yenisey
akan mengalami ketandusan
demi Nobel Kedamaian kini milik Begins ­ Sadat

Andai aku Tuhan
Hari ini satu dunia akan aku musnahkan.....!



Belait.
2 hb Mei '79

Catatan satu perjalanan

(buat dia yang pernah hadir dihatiku)


Engkau kah sang pengembara itu
Yang menitip sekuntum salam
Berkisah tentang airmata masa silam dan harapan
Lalu mengajak ku merenung mentari dipinggir lautan
sambil menyapa senja bersama mega merahnya
Sedang hembusan bayu tiada pernah terdengar suaranya
Mengapa semudah itu tersingkap rahsia sekeping hati

Aku kah orang luar itu
Yang mengakrabkan sebuah pertemuan
Berkongsi pengalaman dan erti kehidupan
Menemani mu mendaki batu-batu berkerikil
Menghitung bintang-bintang
Menghela nafas bersama buih-buih ombak
Atau mencemburui bakat seni, seorang penyanyi
Lalu lewat perjalanan pulang diakhir malamnya
Terluahkah mimpi-mimpi mu yang belum tercapai….

Lalu Siapakah itu
Yang tiba-tiba terasa
Jauhnya sebuah perjalanan yang belum dilalui
Kerana ada jarak masa membataskan
Lalu merasa
Yang bakal kau tinggalkan
Hanyalah sebuah doa dan kenangan…..



Jerudong
Julai 2003

It had been Awhile

It had been awhile since I last put up a post in this Blog. Ketandusan Idea barangkali atau kerana masa inda mengizinkan.

Thinking about it, I think it is better to me to put up my old poems from those old days, just in case it will reactivate my creativity.